Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 9 Jun. - Kementerian Kesihatan dan DST Managed Services Sdn. Bhd. (DMS) hari ini mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian bagi penyediaan tenaga kerja Unit Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (Health, Safety and Environment-HSE).
Majlis Menandatangani Perjanjian berkenaan berlangsung di Bangunan Mutiara Exchange, Lebuhraya Tungku, dengan kehadiran Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar sebagai tetamu kehormat majlis.
Menandatangani bagi pihak Kementerian Kesihatan, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr. Dayang Hajah Rafidah binti Haji Gharif; dan disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff.
Manakala bagi pihak DMS pula, perjanjian ditandatangani oleh Chairman of DMS, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DMS, Awang Osmali bin Othman.
Kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan DMS berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuh piawaian kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.
Melalui kepakaran profesional yang disediakan, kerjasama berkenaan akan membolehkan hospital dan pusat kesihatan meningkatkan lagi protokol keselamatan, menjalankan penilaian risiko secara menyeluruh, serta membudayakan amalan keselamatan.
Usaha bersama berkenaan akan memberi manfaat kepada pesakit, kakitangan, serta masyarakat amnya dengan memastikan pematuhan terhadap keperluan peraturan, mengurangkan risiko dan meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
Di bawah projek selama tiga tahun, seramai 22 kakitangan DMS kini ditempatkan bagi menyokong Unit HSE, Kementerian Kesihatan.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Kementerian Kesihatan dalam memperkukuh keselamatan tempat kerja, pemantauan kesihatan serta pengurusan alam sekitar di fasiliti-fasiliti kesihatan seluruh negara.
DMS telah menyokong kementerian melalui perjanjian satu tambah satu tahun, dengan menempatkan enam kakitangan bagi membantu Unit HSE dalam membangunkan dasar kesihatan, keselamatan dan alam sekitar serta prosedur operasi standard.
Berdasarkan hasil positif berkenaan, perjanjian baharu tersebut mencerminkan keyakinan berterusan terhadap perkhidmatan DMS serta matlamat bersama untuk mewujudkan ekosistem penjagaan kesihatan yang selamat.
Turut hadir pada majlis berkenaan, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan bersama-sama Ahli Pasukan Pengurusan Kanan DMS serta pasukan projek berkenaan.